Wednesday, March 28, 2007

Untuk Muhasabah kita bersama


Ya, saya tertarik sebab kelakar dengan syarikat korporat (keparat pun boleh juga) Telekom Malaysia!


Saya berpandangan bahawa Telekom Malaysia Berhad (TM) telah melakukan satu monopoli besar kepada majoriti rakyat Malaysia. Dan monopoli ini sudah pasti tidak membawa sebarang keuntungan kepada kita selaku rakyat Malaysia yang semakin dihimpit dengan inflasi. Monopoli dalam bidang bisnes adalah sesuatu yang tidak bagus. Dan kes ini lebih kurang sama seperti mana monopoli Microsoft di dalam dunia komputer - pengguna tidak punya banyak pilihan dan akhirnya terpaksa membayar harga paras cekik darah walaupun servis yang diberikan sangat menghampakan.


TELEFON TALIAN TETAP

Boleh dikatakan hampir keseluruhan rumah kediaman dan syarikat yang memiliki talian telefon tetap akan berdaftar di bawah TM. Ada berapa juta buah rumah dan syarikat di Malaysia ini? Dan ini pastinya membuatkan TM mengaut untung yang berganda-ganda banyaknya kerana tidak wujud sebarang pesaing. Sepatutnya dalam keadaan begini, TM wajib mengurangkan caj kadar panggilannya.


Caj panggilan tempatan pada 8 sen/minit (2 minit yang pertama) dan 4 sen/minit bagi minit-minit berikutnya adalah satu pelan-kaut-untung yang berlebihan. Ini bermakna, jika anda menelefon rumah jiran sebelah selama satu jam, maka anda perlu membayar RM2.48. Ini baru jiran sebelah, kalau anda duduk di Shah Alam dan telefon mak ayah yang duduk di Sabak Bernam, maka kadarnya lebih tinggi dari itu. Dan ia menjadi lebih tinggi jika anda duduk di Johor dan menelefon isteri anda yang berada di Perlis


Kamu tahu kenapa jadi begini? Ia sebab monopoli TM ke atas sistem telekomunikasi kita. Tiada syarikat lain untuk menyaingi TM dalam membekalkan talian telefon tetap di rumah kediaman anda.


Sepanjang saya duduk di Ireland ini, saya mendapati kadar telefon di sini amat murah. Dan pelan yang ditawarkan juga amat menarik dan menjimatkan. Pelan paling menarik yang pernah rumah saya miliki ialah kadar telefon 0 sen/minit (bagi 60 minit pertama) ke mana sahaja, asalkan masih di dalam Ireland. Jadi menelefon nombor talian tetap jiran sebelah rumah anda, ataupun kawan anda yang tinggal di negeri lain adalah percuma walaupun anda bercakap selama 100 jam! Tapi dengan syarat bila sudah berbual selama 59 minit, letakkan telefon, dan kemudian dail semula nombor itu. Jadi kami sebenarnya hanya perlu membayar sewa bulanan sahaja jika kami pandai memanipulasi pelan yang dipilih itu.


Kamu tahu kenapa jadi begini? Sebab di Ireland syarikat telefon nombor 1 iaitu Eircom, telah disaingi oleh syarikat-syarikat pembekal telekomunikasi yang lain seperti BT, Euphony, Swiftcall dan lain-lain.


SNAILMYX

Mulai hari ini, pengguna TM Streamyx patut memanggilnya Snailmyx kerana ia adalah sejenis broadband paling perlahan yang pernah saya rasai. Dan ramai orang akan bersetuju dengan saya. Ketika saya pergi ke rumah kawan saya di Johor Bahru, berkali-kali dia cuba untuk connect, tetapi amatlah susah. Di Johor Bahru pun sudah begini (JB antara bandar termaju di Malaysia), apatah lagi di bandar-bandar seperti Meru dan Kapar!


Di rumah saya di Malaysia, hanya saya menggunakan komputer. Jadi apabila saya balik bercuti, adalah tidak berbaloi bagi mengambil Streamyx. Maka saya pun membuat keputusan membeli TMNet Prepaid berharga RM30 yang berkelajuan 58kbps kalau tak silap. Setelah cuba dan mencuba, barulah saya dapat akses ke gerbang internet. Untuk membuka Google pun ia sudah memakan masa 5 minit!!


Apa ini? Saya pernah menggunakan dial-up di Ireland, tetapi ia tidaklah seteruk di Malaysia. Dan kejadian membuka-google-selama-5-minit-baru-siap ini berlaku di Seksyen 17 Shah Alam, yang mana di situ terdapat ibusawat Telekom Malaysia! Ini Shah Alam (saya ulangi Shah Alam, bukan Kapar, bukan Meru, dan bukan Bukit Changgang). Dan setelah berjaya membuka Google, saya cuba membuka blog saya pula. Dan ia tak mahu loading setelah berminit-minit, dan talian 1515 itu terputus dan saya menghadapi kesukaran yang maha dahsyat untuk mengakses kembali internet.


Dan sesudah tragedi ngeri ini, saya berjanji dan bersumpah akan berwasiat kepada bakal isteri, bakal anak, dan bakal cucu saya supaya jangan lagi menggunakan dial-up Telekom. RM30 yang saya gunakan untuk membeli kad prepaid itu sebenarnya lebih baik disedekahkan kepada mangsa tragedi gempa bumi Jogjakarta yang berlaku waktu.


BROADBAND KITA TERLALU MAHAL

Streamyx datang dalam pakej dari 384kbps hinggalah 2.0mbps [rujuk kadar]. Pakej Streamyx Basic 384kbps berharga RM20/10 jam (5sen/minit jika melebih 10 jam). Dan pakej paling pantas (konon-konon aje tu) iaitu Streamyx Corporate ADSL 2.0mbps download/384kbps upload berharga RM1188 sebulan, dan pakej ini semestinya tidak mampu dimiliki oleh syarikat-syarikat kecil dan sederhana seperti Syarikat Pembuat Keropok Lekor.


Syarikat sama ada kecil, besar atau sederhana memerlukan akses internet yang laju bagi membolehkan mereka bersaing dengan lebih mantap dalam dunia pasaran terbuka. Oleh kerana Streamyx yang dimiliki oleh TM sekali lagi melakukan monopoli, dan kali ini dalam dunia internet, maka kita selaku rakyat Malaysia terpaksa berkompromi dengan kualiti servis yang sangat teruk walaupun membawar pada harga yang tersangat mahal.


Di Ireland, rumah saya sekarang ini menggunakan Magnet Broadband, di bawah pelan Magnet Entertainment. Pelan ini memerlukan kami membayar 59 Euro/bulan, dan kami menikmati 3 servis dalam 1, iaitu:


Internet: 8.0mbps download/ 512kbps upload

Satelit TV: Tak ingat pula berapa channel ada

Telefon: Masa berbual percuma selama 60 minit pertama (local call only)


Kalian nampak tak beza yang sangat ketara? Kalau kita tolak TV dan telefon, sangat besar beza bayaran bagi mendapatkan broadband yang nyata jauh lebih laju dari Streamyx Corporate ADSL 2.0mbps.



No comments:

Mark Pissone of Cassaholm Confidential FC Diary (Part 5)

 October 22, 2013 - The Goalless Tango, Oldkamps Outlaw Standoff, and Dr. Cassa's Cryptic Satisfaction! Dear Diary, In the ever-unpredic...