Bacalah petikan artikel di bawah dan pertimbangkan lah dengan akal yang waras.
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Hrkh) - Dalam konsep Islam sesuatu amal kebajikan yang dilakukan orang Muslim perlu mendapat keredaan Allah termasuk bantuan tsunami.
Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Siti Zailah Mohd Yusoff,tujuan amalan tersebut selain membantu ia juga bagi mendapat manfaat di dunia dan akhirat.
Bagaimanapun katanya, apa yang berlaku pada hari ini, ada amalan tersebut seolah-olah bertentangan dengan syariah.
"Contohnya di kalangan artis-artis, mereka berlumba-lumba membuat amal untuk membantu mangsa tsunami tetapi dalam masa yang sama aurat didedahkan dan persembahan mereka menggalakkan pergaulan lelaki dan perempuan," katanya.
Katanya, ini disebabkan matlamat tidak menghalalkan cara, justeru itu tambahnya jika mahu membuat pahala caranya mesti selari dengan tuntutan Islam.
"Walaupun matlamatnya baik tetapi caranya perlu ada akhlak dan sumbangan yang disalurkan itu wajar suci dan tidak subahat, dengan perkara yang tidak menimbulkan kemungkaran," katanya.
Malah katanya, sekalipun usaha artis-artis untuk membantu mangsa tsunami cukup bagus tetapi program yang dilaksanakan kadangkala boleh melalaikan dan tidak bermaruah.
Sehubungan itu katanya, para ulama wajar memberi penjelasan mengenai konsep sebenar untuk beramal kerana pandangan tersebut amat penting supaya masyarakat tidak terkeliru terhadap erti amal yang diredai Allah SWT.
"Kita lihat di sini para ulama dan kerajaan perlu memberi penjelasan contohnya konsep hiburan yang dibolehkan dalam Islam dan mereka sepatutnya membuat teguran secara terbuka di atas pesta hiburan meskipun untuk ke jalan amal.
"Sekiranya mahu tampil menderma janganlah seolah-olah kita lupakan kiblat," katanya lagi.
Di samping itu beliau berkata, masyarakat juga seharusnya peka dan sentiasa berusaha mencegah segala kemungkaran yang berada di sekeliling mereka
sumber: www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment